Pemilik Restoran Dapat Notis ‘KPDNHEP’ Diarah Beri Penjelasan “Tentang Siakap Kontroversi”
Pemilik Restoran Ikan Siakap
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengeluarkan notis kepada peniaga restoran terapung di Pulau Langkawi bagi mendapatkan penjelasan berhubung siakap ‘kayangan’ yang tular baru-baru ini.
Menerusi laporan BH Online, Ketua Pegawai Penguatkuasaan KPDNHEP Kedah, Mohd. Shahran Mohd. Arshad berkata, pemilik restoran akan diambil tindakan jika gagal menjawab beberapa persoalan sebelum Khamis ini.
“Kita beri tempoh lima hari untuk pemilik restoran berkenaan menjawab beberapa perkara di dalam notis itu antaranya berkaitan kos ikan siakap, makanan dan apa-apa yang ada dijual di situ.
“Setakat ini kita masih menunggu maklum balas daripada pemilik restoran itu, buat masa sekarang kita tidak boleh kata salah atau tidak.
“…sebaik sahaja kita terima notis itu kita akan analisa setiap kos yang diberikan secara terperinci samada berlakunya kenaikan harga tidak munasabah atau sebaliknya,” katanya.
Pada Khamis lalu, kecoh di media sosial apabila seorang pengguna laman Facebook mendakwa terpaksa membayar bil hidangan RM1,759.50 termasuk ikan siakap seberat 7.48 kilogram yang berharga RM1,196.80.