19 tahun cari rezeki di Malaysia, pekerja Bangladesh makan nasi dengan garam je… dakwa kumpul RM800,000
TIDAK dinafikan masih ada segelintir individu yang memandang rendah terhadap golongan pekerja asing di negara ini.
Namun, kecekalan mereka yang sanggup merantau jauh ke Malaysia untuk mencari rezeki demi menyara keluarga seharusnya dijadikan inspirasi.
Video tular memaparkan seorang warga Bangladesh yang bekerja di negara ini selama hampir 19 tahun, menjadi perhatian ramai.
Tanpa mendedahkan pekerjaan sebenarnya, dia memberitahu memperoleh gaji bulanan sebanyak RM5,500, namun hanya RM300 daripada itu disimpan untuk kegunaan peribadi.
Dakwanya, baki gaji berjumlah RM5,200 dihantar kepada keluarga di Bangladesh dan dia juga berjimat-cermat dengan hanya makan timun pada waktu malam.
Tambahnya lagi, dia juga mampu menyimpan wang kerana penginapannya di Malaysia ditanggung majikannya.
Menerusi video berasingan, dia dilihat menjamah nasi berlaukkan garam, cili, bawang merah serta sedikit kuih.
Ketika ditanya, dia mendakwa berjaya mengumpul wang sebanyak RM800,000 sepanjang bekerja di negara ini.
Malah katanya, dia mampu mendapatkan sebuah rumah serta tanah sendiri buat keluarganya di Bangladesh.
Pekerja asing itu membuat pendedahan berkenaan selepas ditanya oleh seorang warga tempatan, dipercayai rakan di tempat kerjanya.
Video lelaki Bangladesh itu yang dimuat naik di laman TikTok, meraih lebih 2.1 juta tontonan dan dihujani dengan pujian netizen.
“Rezeki dia sama macam orang kita yang kerja dekat luar negara. Niat kerja tu kena kuat. Semoga kita semua sentiasa dilimpahi rezeki.
“Nasi, air, cili, geram. Allah, terharunya. Betul-betul dia datang Malaysia untuk kumpul duit. Niat awak sangat mulia untuk bantu keluarga di kampung.
“Ya Allah, moga kau limpahkan rezeki dan permudahkan segala urusan adik ni,” demikian antara komen netizen.Sumber:mStar via Bulletin50times