Remaja maut, motosikal langgar lembu ‘berkampung’ atas jalan.


TAMPIN – Seorang remaja maut, manakala rakannya cedera apabila motosikal yang ditunggangi mereka secara berasingan merempuh sekumpulan lembu yang ‘berkampung’ di Jalan Batang Rokan-Bukit Rokan, di sini, malam tadi. Dalam kejadian berkenaan, Muhamad Idzham Hakimi Amin, 16, yang beralamat di Felda Bukit Rokan disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian. Difahamkan, dalam kejadian berkenaan, tiga ekor lembu termasuk dua anak lembu turut mati. Menurut Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Anuwal Ab Wahab, kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.40 malam membabitkan dua buah motosikal yang ditunggangi remaja berusia 16 tahun dari arah Gemencheh menghala ke Bukit Rokan. “Apabila sampai di tempat kejadian, terdapat sekumpulan lembu baring di atas jalan. Kedua-dua motosikal tidak dapat mengelak lalu melanggar binatang tersebut dan jatuh di atas jalan. “Akibat kemalangan itu menyebabkan seorang penunggang motosikal mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia ditempat kejadian dan seorang lagi penunggang di bawa ke Klinik Kesihatan Gemencheh untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini. Ujar Anuwal lagi, mayat penunggang motosikal telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Tampin bagi tujuan bedah siasat untuk mengetahui punca kematian. Sehubungan itu, katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kemalangan itu diminta tampil ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin atau menghubungi talian 064412502 bagi membantu siasatan. “Kertas siasatan telah dibuka dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan siasatan masih diteruskan,” katanya.  

Sumber – KOSMO! ONLINE. 
LihatTutupKomentar