“Orang Kata Kahwin Pun Salah Satu Jalan Taubat” – Syamsul Yusof


“Orang Kata Kahwin Pun Salah Satu Jalan Taubat” – Syamsul Yusof

Pengarah terkenal, Syamsul Yusof menafikan dakwaan isteri keduanya, Ira Kazar kini sedang hamil anak pertama mereka.

Memetik mStar Online, Syamsul berkata jika benar perkhabaran tersebut sudah tentu dia akan maklumkan kepada umum.

“Itu fitnah… saya dapat tahu pun dari kenalan saya dan kalau mengandung pun, Alhamdulillah. Tapi saya nak jelaskan memang (Ira) tidak hamil dan kalau ada berita baik saya akan beritahu,” katanya.

Menurut Syamsul lagi, dia sedar isteri keduanya itu menjadi mangsa kecaman netizen namun dia sentiasa berpesan kepada Ira supaya bersabar.

“Semestinya sesiapa sahaja yang berada ditempat saya, dia atau Sarah sekali pun pasti akan terkesan. Tapi saya sentiasa pesan pada Ira agar bersabar sebab ini ujian serta pasti ada hikmah. Jadi terus bersabar dan solat,” katanya.

Dalam pada itu, Syamsul turut memohon kepada orang ramai mendoakan agar dia dapat menjadi suami yang baik serta adil buat kedua isterinya.

“Doakan sahaja yang baik-baik. Saya pun sentiasa berdoa supaya saya jadi seorang suami yang baik dan adil. Orang kata kahwin ini pun salah satu jalan taubat juga,” katanya.

Difahamkan, hari ini Syamsul memfailkan permohonan nusyuz terhadap isteri pertamanya Puteri Sarah Liyana di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor.


LihatTutupKomentar